Site Loader

Vegetarian adalah satu budaya pola pemakanan berasaskan sayuran dan buah-buahan. Ia adalah budaya pemakanan yang tidak membabitkan daging baik jenis daging merah seperti lembu mahupun daging putih seperti ayam dan makanan laut. Kita juga sedia maklum bahawa amalan vegetarian di Malaysia kebanyakannya diamalkan oleh kaum India. Contohnya, kalau dulu, kaum India terkenal dengan gaya hidup vegetarian kerana sudah menjadi hukum agama mereka untuk mengelakkan daging lembu, tapi hari ini budaya pola pemakanan ini sudah lebih meluas dalam masyarakat bukan India. Namun, kini terdapat kaum Cina dan juga segelintir kaum Melayu yang turut mengamalkan vegetarian dalam kehidupan seharian. Mereka yang mengamalkan amalan ini mempunyai pandangan yang tersendiri tetapi berbeza di antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain. Sesetengah kaum beranggapan bahawa amalan vegetarian mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Oleh itu, terdapat pelbagai kebaikan dan keburukan amalan vegetarian daripada pandangan rakyat dan cara mengubahnya
Salah satu kebaikan budaya vegetarian ialah menyihatkan tubuh badan. Hal ini kerana buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan serat dan peptida. Dengan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan, badan kita dapat mengeluarkan toksin yang terkandung dalam badan. Toksin yang terkandung dalam badan tersebut dapat dikeluarkan dengan lebih baik. Contohnya, apabila banyak peluh yang keluar daripada badan semasa bersenam atau berjalan seribu langkah. Oleh hal yang demikian, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran amat penting bagi meningkatkan imun badan yang kuat serta kulit yang sihat. Jika juga sering melihat bahawa segelintir pengamal vegetarian ini seperti kaum India, Cina dan Melayu mempunyai kulit muka dan kulit badan yang sihat. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa budaya vegetarian ini juga telah mendatangkan kebaikan terhadap semua kaum yang mengamalkannya.

Seterusnya, budaya vegetarian dapat mengawal berat badan yang ideal. Hal ini kerana, anti-oksida dan serat yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran dapat mengawal keseimbangan badan sehinggakan pola makan bagi seorang vegetarian sangat baik dilakukan oleh pelaku diet. Pengamal vegetarian juga dapat menurunkan dan meningkatkan kolesterol dalam badan yang dikenali sebagai kolesterol LDL iaitu kolesterol jahat dan kolesterol HDL iaitu kolesterol baik. Dalam hal ini, kaum Cina amat menitikberatkan berat badan. Oleh yang demikian, kita sering melihat mereka yang lebih ramai melakukan aktiviti bersenam dan bersukan berbanding dengan kaum lain di negara ini. Berikutan dengan zaman ICT yang semakin maju, terdapat segelintir kaum Melayu terutamanya yang leka dengan teknologi sehingga mengabaikan aktiviti bersukan dan bersenam, yang mendatangkan pelbagai kebaikan. Contohnya, untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Tegasnya, amalan vegetarian akan menjadikan dalaman badan lebih sihat dan baik.

Di samping itu, budaya vegetarian dapat mengurangkan risiko barah dan penyakit-penyakit lain. Hal ini kerana terdapat kajian hasil kajian Harvard Nurses Health Study mengatakan daging mempunyai kaitan dengan kanser payudara. Malah The National Cancer institute juga mengatakan wanita yang mengambil wanita yang mengambil daging setiap hari berisiko empat kali ganda terkena kanser payudara. Kajian di Jerman pula mengatakan bahawa sistem kekebalan wanita vegetarian lebih efektif membunuh sel kanser. Hal ini dapat dikukuhkan lagi apabila, 100 000 orang rakyat Malaysia hidap kanser setiap tahun. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, daripada jumlah tersebut, 4, 753 adalah wanita Melayu diikuti wanita Cina seramai 4, 422 orang, manakala kaum lelaki Cina ramai menghidap kanser iaitu 4, 078 orang berbanding lelaki Melayu seramai 4, 058 orang. Menurutnya lagi, lima kanser utama yang menyerang rakyat di negara ini adalah kanser payudara iaitu 14.5%, kanser usus 12.1%, kanser paru-paru 11.8%, kanser pangkal rahim 5.7% dan kanser kerongkong 5.4%. Oleh hal yang demikian, sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting bagi pengamal vegetarian kerana pemakanan ini dapat melindungi pengamal vegetarian daripada pelbagai jenis kanser.

Antara pandangan rakyat daripada sudut keburukan terhadap budaya vegetarian ialah kekurangan kalsium. Kekurangan kalsium dalam badan akan membawa impak yang negatif. Pelbagai simptom yang dapat dikesan oleh individu yang kekurangan kalsium. Contohnya, sistem imun yang lemah, ketidakseimbangan emosi, kelesuan dan sebagainya. Namun, kaum Cina, India dan segelintir kaum Melayu yang mengamalkan amalan ini tetap mempunyai kesihatan tubuh badan yang baik. Hal ini terbukti apabila mereka mempunyai tenaga yang banyak, badan yang cergas dan minda yang cerdas dalam melakukan aktiviti seharian. Jelaslah, kaum yang mengamalkan vegetarian ini tetap dipandang serong oleh sesuatu rakyat.
Selain itu, kekurangan protein juga merupakan salah satu pandangan negatif yang sering menjadi buah mulut rakyat daripada posisi keburukan budaya vegetarian. Hal ini kerana, protein merupakan sumber utama dalam pembentukan pelbagai organ dan tisu dalam badan. Organ dan tisu dalaman memerlukan protein yang secukupnya. Oleh yang demikian, masyarakat perlu yang mengamalkan pemakanan mengikut piramid makanan bagi mendapatkan pemakanan yang seimbang. Namun begitu, kaum Cina dan India berpegang pada prinsip tidak memakan makanan yang bernyawa apabila mengamalkan vegetarian. Contohnya, kaum India berpegang pada hukum agama untuk mengelakkan memakan daging lembu.
Tambahan lagi, rakyat juga telah menganggap bahawa budaya vegetarian adalah sensitif yang sering dikaitkan dengan agama. Ia adalah tersasar jauh dan tidak relevan untuk dikekalkan terus menjadi stigma. Rakyat sepatutnya tidak berpandangan dan berfikiran negatif sebegini. Sebaliknya, rakyat perlu mencari maklumat yang secukupnya berkaitan dengan budaya vegetarian agar pengamal vegetarian tidak akan terus dipandang serong melalui aspek agamanya. Untuk pengetahuan semua, vegetarian adalah alternatif pemakanan yang bukan ditentukan berdasarkan sesuatu bangsa atau kepercayaan kerana selagi ia halal dan menjamin kesihatan, tiada yang salah dengan mengamalkannya. Juga dapat dijelaskan bahawa setiap kaum mempunyai kepercayaan mereka tersendiri dan mereka juga perlu patuh terhadap apa yang diperintahkan melalui kepercayaan mereka. Oleh itu, perkaitan dengan isu sensitif yang berkaitan agama juga tidak boleh disalahkan dalam pengambilan vegetarian dan tidak patut dipandang negatif oleh rakyat.

Apabila terdapat pandangan negatif rakyat terhadap budaya vegetarian maka sudah tentulah terdapat cara mengubahnya agar budaya vegetarian tidak akan terus diabaikan dan dipandang serong oleh semua kaum terutamanya Cina dan India. Salah satu cara untuk mengubah pandangan negatif rakyat terhadap kaum yang mengamalkan vegetarian ialah pengamal vegetarian perlu juga mengambil kalsium. Hal ini kerana, tubuh amat memerlukan kalsium untuk membangun tulang dan gigi yang sihat. Biasanya, kalsium diperoleh daripada produk-produk susu, termasuk yoghurt dan keju. Bagi mereka yang menerapkan pola makan vegetarian, terutama vegan, sumber kalsium dapat diperoleh daripada produk pembuatan sendiri seperti tauhu dan tempe, beras atau oat yang telah diproses atau diberikan zat-zat tambahan, kekacang, roti dengan tambahan kalsium dan buah-buahan kering seperti kurma, kismis dan sebagainya. Oleh itu, pengamal vegetarian perlu mengambil kalsium yang secukupnya agar badan sentiasa sihat dan bertenaga.
Selain itu, bagi mendapatkan protein yang secukupnya, pengamal vegetarian perlu memastikan protein yang diambil dalam seharian adalah mencukupi. Hal ini kerana protein akan membantu kulit, tulang, otot dan organ tubuh lain untuk tetap sihat. Susu dan produk pembuatan sendiri merupakan sumber protein. Oleh itu, tidak salah jika pengamal vegetarian daripada pelbagai kaum mengambil produk tenusu dan produk pembuatan sendiri dalam pemakanan mereka. Berkaitan dengan pola vegan pula, sumber protein dapat diperoleh daripada produk kacang susu, kekacang lain dan biji-bijian yang diperlukan. Penting untuk mengetahui pelbagai jenis protein oleh pengamal vegetarian untuk memenuhi keperluan badan setiap hari. Jelaslah, pengamal vegetarian perlu memastikan bahawa tubuh badan mereka mempunyai protein yang secukupnya.
Akhirnya, pengamal vegetarian tidak perlu menganggap bahawa budaya vegetarian adalah sensitif yang sering dikaitkan dengan agama. Hal ini merupakan perkara yang tersasar jauh dan tidak relevan untuk dikekalkan terus menjadi stigma dalam kehidupan. Vegetarian adalah alternatif pemakanan yang bukan ditentukan berdasarkan sesuatu bangsa atau kepercayaan kerana selagi ia halal dan menjamin kesihatan, tiada yang salah dengan mengamalkannya. Oleh itu, pengamal vegetarian terutamanya bagi kaum Melayu perlu mengetahui kehalalan sesuatu makanan tersebut agar kesihatan badan akan terus terjamin.
Kesimpulannya, amalan vegetarian yang diamalkan oleh sesuatu kaum mengikut budaya dan agama mereka adalah baik berikutan dengan kandungan sayuran dan buah-buahan yang mempunyai banyak khasiat dan vitaminnya. Khasiatnya juga dapat menjadikan tubuh badan yang lebih sihat dan perkembangan kesihatan yang positif. Oleh itu, sebagai rakyat yang mengetahui fahaman budaya mereka yang mengamalkan vegetarian ini, tidak salah jika kita menjadikan sebagai panduan untuk mengikuti cara mereka dalam pemakanan seharian atau untuk berdiet bagi menjaga kesihatan tubuh badan kita.

Post Author: admin